fb fb fb fb fb

Kes kecurian REE sebahagian isu tadbir urus

(Datuk Seri Saifuddin ditemu bual selepas sesi taklimat projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Jenun Baru)

PENDANG, 20 Julai- Pendedahan kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik, bukan untuk memburukkan imej Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sebaliknya bagi menunjukkan bahawa disyaki wujud isu kepincangan pentadbiran kerajaan negeri.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setelah tangkapan pertama Februari lepas, kertas siasatan dibuka oleh Jabatan Perhutanan serta Jabatan Mineral dan Sains (JMG).

Beliau percaya siasatan akan diteruskan melibatkan beberapa agensi.

"Ia sebahagian daripada isu tadbir urus. Tidak ada plot (memburukkan imej Muhammad Sanusi) dalam isu ini. Hakikatnya isu kecurian REE menunjukkan beberapa isu berbangkit termasuk dalam kes membawa masuk pekerja asing dari China yang kemudiannya terbabit isu bawa keluar nadir bumi secara tidak mengikut peraturan. Istilahnya dalam Kanun Tanah Negara ialah mengalih dan memindahkan.

"Tangkapan dan kompaun yang telah dikeluarkan," kata Saifuddin yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah kepada media selepas sesi taklimat projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Jenun Baru di sini.

Terdahulu media melaporkan, Muhammad Sanusi mendakwa terdapat rancangan untuk memburukkan imejnya dan cubaan mengaitkannya dengan penyelewengan dalam isu perlombongan REE di Kedah.

(Kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Jenun Baru ketika tinjauan/BERNAMA)

Media Baharu