SHAH ALAM, 20 Julai- 74 peratus pengundi di Selangor menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan menjelang PRU DUN Ke-15.
Dapatan itu berdasarkan tinjauan Institut Darul Ehsan (IDE), yang dilaksanakan pada 12 hingga 15 Mei lalu.
Tinjauan 1,693 orang respondan meliputi 56 DUN di negeri berkenaan mendapati Pakatan Harapan meraih 58 peratus sokongan, manakala 16 peratus menyokong Barisan Nasional.
Pengerusi Eksekutif IDE, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata 26 peratus daripada respondan pula merupakan pengundi atas pagar.
Namun, 69.1 peratus daripadanya mempunyai persepsi positif terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Di Selangor ini nampaknya sokongan rakyat itu masih lagi kental dan ini mungkin disebabkan oleh tidak ada isu besar yang melibatkan kerajaan negeri walaupun isu air adalah sesekali, air pencemaran dan sebagainya.
"Isu berkaitan pentadbiran, adakah mereka ada persepsi tentang penyalahgunaan kuasa rasuah, itu hampir tidak ada menunjukkan dalam konteks Selangor, mereka memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada kerajaan yang ada pada hari ini," katanya pada taklimat media di IDE, di sini hari ini.
(Pengerusi Eksekutif IDE, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman)
Perdana Menteri turut meraih 73.4 peratus persepsi positif daripada pengundi di Selangor.
Sementara itu, 78.9 peratus teruja untuk keluar mengundi dengan 68.5 peratus pengundi kali pertama.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU Ke-15) lalu, peratusan keluar mengundi di Selangor mencecah 78.6 peratus.