fb fb fb fb fb

Murid dirotan guru besar: Siasatan dilakukan secara telus

KUALA PILAH, 20 Julai- Siasatan berhubung dakwaan seorang murid dirotan guru besar di sebuah sekolah di Segamat, Johor sehingga cedera akan dilakukan secara telus.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya kejadian itu benar berlaku dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

"Kita serahkan kepada siasatan, dalam masa yang sama kita kena hormat dengan proses itu. Semua (hasil) siasatan ini akan dimaklumkan kembali kepada KPM.

"Intervensi-intervensi khususnya sokongan psikososial pada guru dan murid terlibat juga kita buat," kata Fadhlina ketika ditemui pemberita di Karnival Mini Pendidikan Madani Peringkat Negeri Sembilan di sini.

Rabu lalu, media melaporkan seorang murid tahun lima sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Segamat didakwa dirotan guru besar sehingga mengakibatkan kecederaan pada badan dan muka.

Kejadian didakwa berlaku berikutan murid berkenaan gagal menyiapkan kerja sekolah dan bersikap sambil lewa semasa sesi pembelajaran.

Sementara itu Karnival Mini Pendidikan Madani peringkat Negeri Sembilan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar.

Karnival berlangsung selama sehari itu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pemerkasaan TVET, pemantapan jaringan profesionalisme perkhidmatan psikologi dan kaunseling.

"Pendedahan kepada pelajar melalui program tersebut kita boleh melatih pelajar cara berkomunikasi terutamanya dengan orang luar, tentang kaedah menghasilkan produk-produk dalam bidang jahitan, latih berani berhadapan orang ramai walaupun mereka pelajar pendidikan khas," kata guru pendidikan khas, Nor Haslida Md Nor.

(Fadhlina ketika ditemui pemberita di Karnival Mini Pendidikan Madani Peringkat Negeri Sembilan)

Media Baharu