fb fb fb fb fb

Program khas jadikan Penjaga OKU sebagai kerjaya

(Datuk Seri Nancy semasa sidang media selepas hadir pada Program Jalinan Kasih
Beiersdorf
Bersama Rumah Ehsan dan Taman Sinar Harapan Kuala Kubu Bahru/BERNAMA)

KUALA KUBU BAHRU, 20 Julai- Program khas akan diwujudkan bagi memberi latihan khusus kepada penjaga golongan berkeperluan khas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menjelaskan, program itu yang dijangka bermula tahun depan akan membolehkan penjaga menjadikan tugas berkenaan, sebagai kerjaya dan bukan lagi sekadar sukarela.

"Mereka perlu dilatih sebab kebanyakan di negara kita membantu kita secara sukarela," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jalinan Kasih Beiersdorf Bersama Rumah Ehsan dan Taman Sinar Harapan Kuala Kubu Bahru di sini.

Beliau juga memaklumkan bahawa memandangkan perkara itu memerlukan peruntukan kewangan, perbincangan bersama Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi akan dibuat, sebelum dibawa kepada Kabinet.

"Kita baru mulakan perbincangan sebab ini perlukan peruntukan kewangan dan perancangan terperinci tetapi ini adalah salah satu kerjaya perlu diketengahkan," katanya.

Beliau berkata institusi sosial akan menjadi agensi utama bagi membantu kementerian memberikan kursus dan latihan tersebut.

"Setakat ini ramai pihak yang datang kepada kita termasuk pihak universiti yang menawarkan kemahiran mereka dan tempat latihan," katanya.

(Datuk Seri Nancy di Program Jalinan Kasih Beiersdorf Bersama Rumah Ehsan dan Taman Sinar
Harapan Kuala Kubu Bahru)

Media Baharu