(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bergambar bersama
para graduan di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) UiTM, Shah Alam hari ini/BERNAMA)
SHAH ALAM, 10 September- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar mahasiswa dan generasi muda negara dibekalkan dengan ilmu serta pendidikan dalam menghadapi ketidaktentuan masa depan.
Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertitah bahawa mereka perlu mahir mengggunakan teknologi terkini yang bukan sahaja untuk tujuan bersosial, malah bagi membuka ruang dan mencipta masa hadapan yang gemilang buat negara serta diri sendiri.
"Ilmu yang diraih akan membolehkan anak muda mengenali antara kebaikan dan kemungkinan. Ilmu yang diraih juga boleh mencipta kesejahteraan sejagat.
"Beta yakin apabila ramai rakyat Malaysia yang dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan pendidikan, kita akan menjadi lebih bijaksana dalam membuat sebarang keputusan dan tindakan,” titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-94 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, di sini hari ini.
Turut berangkat ke istiadat tersebut adalah Pro-Canselor UiTM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Baginda bertitah bahawa dunia tidak akan berubah tanpa perkembangan ilmu dan maruah serta harga diri seorang manusia adalah berkaitan dengan ilmu yang dimilikinya.
"Allah SWT berfirman dalam surah Al-Mujadalah ayat ke-11 bermaksud 'nescaya Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan orang yang berilmu beberapa darjat'.
"Kerana itu, pembangunan dan kemajuan tamadun sesuatu bangsa sentiasa dihubung kait dan dibatasi dengan tahap penguasaan ilmu serta pendidikan dalam kalangan masyarakat," titah baginda.
Jelas baginda, amat bertepatan pendidikan dijadikan sebagai agenda utama negara yang wajib diperkasa sesuai mengikut peredaran masa dan zaman.
(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menganugerahkan
gelaran Profesor Emeritus kepada Dr Normah Omar pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-94, hari ini/BERNAMA)
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Dr Normah Omar yang merupakan pengasas Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI) UiTM.
"Beliau telah mencipta nama menerusi kepakaran dalam bidang integriti korporat, tadbir urus dan kriminologi kewangan Islam.
"Maka tidak hairan beliau telah banyak terlibat dengan pelbagai agensi kerajaan, badan profesional dan korporat sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam membangunkan sistem penarafan tadbir urus dan integriti korporat.
"Penganugerahan ini adalah bertepatan dengan kepakaran dan sumbangan beliau kepada UiTM dan negara. Beta menzahirkan ucapan tahniah atas penganugerahan gelaran Profesor Emeritus itu," titah baginda.
Istiadat konvokesyen kali ini yang berlangsung secara bersemuka bermula hari ini hingga 29 Sept depan melibatkan 23,359 graduan di tiga kampus UiTM iaitu Shah Alam serta cawangan Sarawak dan Sabah.-BERNAMA