fb fb fb fb fb

Tengku Hassanal berkenan menyempurnakan Istiadat Pentauliahan Diraja (PALAPES)

BANGI, 10 September- Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Universiti Awam (UA) ke-40 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pagi tadi.

Istiadat Perbarisan melibatkan 1,625 Pegawai Kadet PALAPES terdiri daripada 16 detasmen dari 19 UA seluruh Malaysia diketuai Pegawai Rendah Kanan Muhammad Badrul Amin Amanti dari PALAPES UKM.

Daripada jumlah itu, 34 pegawai menerima penyampaian Anugerah Pedang Kehormat sebagai kadet terbaik keseluruhan.


(Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Riayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di sini)

Sementara itu, Timbalan Komandan PALAPES, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Leftenan Kolonel Mohd Safiee Idris optimis, pegawai kadet PALAPES akan terus menjadi penerus kepimpinan negara.

"Kita telah tanamkan semangat patriotik,voluntarism, kesukarelawanan selama tiga tahun. Diharapkan dengan elemen penting ini, anak muda warisan negara menjadi teras pemimpin masa depan,"katanya di sini.

Selesai istiadat Perbarisan, Pemangku Raja Pahang berkenan mengurniakan watikah tauliah kepada 1,024 Pegawai Kadet Tentera Darat Malaysia, 277 Pegawai Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia dan 324 Pegawai Kadet Tentera Udara Diraja Malaysia.

Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES, UA ke-40 merupakan istiadat yang diadakan secara tahunan dan dianjurkan oleh UA mengikut penggiliran.

Bagaimanapun, istiadat tersebut tidak dapat dilaksanakan pada 2020 dan 2021 akibat penularan pandemik COVID-19.

Keberangkatan tiba Tengku Hassanal disambut oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman

Media Baharu