fb fb fb fb fb

MDPM beri 1,000 vaksin influenza percuma

SUNGAI BULOH, 10 September- Sebanyak 1,000 vaksin influenza percuma akan diberikan kepada kanak-kanak, wanita dan warga emas menerusi Program Vaksinasi Sayang Seribu anjuran Majlis Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM).

Ia dilaksana dengan kerjasama Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM dan Primadona Medical Centre, bersempena ulangtahun ke-20 penubuhan MDPM.

Presiden MDPM, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata program khidmat masyarakat tersebut merupakan antara inisiatif kecil pihaknya dalam menyumbang ke arah memberi kesedaran orang ramai tentang kepentingan mendapatkan vaksinasi influenza atau selsema.

(Datuk Awalan Abdul Aziz)

Program julung kali diadakan itu akan diteruskan ke rumah-rumah kebajikan yang lain bagi memberi perlindungan kesihatan kepada golongan memerlukan.

"Bagi pihak MDPM, saya ingin mengesyorkan satu cadangan kepada pihak kerajaan dan pihak Kementerian Kesihatan, KKM agar mempertimbangkan untuk divaksinasikan masyarakat, orang ramai yang umurnya 65 ke atas terutama yang mempunyai komorbid.

"Kerana influenza ini agak serius berdasarkan statistik dan peratusan yang kita tahu ia boleh mengakibatkan kesihatan serius dan juga boleh menyebabkan kematian," katanya pada program vaksinasi tersebut, di sini hari ini.

Pelancaran disempurnakan Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, KKM, Datuk Dr. Mohamed Sapian Mohamed.

Buat permulaan, seramai 120 penghuni dan kakitangan Rumah Kasih Harmoni menerima vaksin influenza, sebelum dilaksanakan di kawasan tumpuan lain dalam masa terdekat.

Media Baharu