KUALA LUMPUR, 19 Februari- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap ahli-ahli pesuruhjaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi, pada pertemuan itu, Seri Paduka Baginda berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada ahli-ahli suruhanjaya itu yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Pada 14 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan penubuhan RCI itu yang dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.
Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.