fb fb fb fb fb

FOMO boleh jadi negatif sekiranya tidak dikawal- Fahmi Fadzil

Fahmi (kiri) dalam program temu bual 'Ini Kopi Kita: Sembang Anak Malaysia'

KUALA LUMPUR, 19 Februari- Orang ramai dinasihatkan agar mengambil pendekatan berhati-hati dalam menggunakan media sosial.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pengaruh mengikut trend terkini atau 'Fear of Missing Out' (FOMO) dalam kalangan pengguna media sosial boleh memudaratkan individu sekiranya tidak dikawal.

Malah, ia juga boleh menjurus kepada keadaan negatif pada kesihatan mental seperti menimbulkan perasaan ketegangan diri hingga depresi.

"Bagi saya kalau kita tidak jadi terlalu taksub, itu boleh kita anggap sebagai yang positif. Kalau kita tahu apa yang sedang berlaku sekarang, sekurang-kurangnya kita tahu, kalau benda itu bahaya contohnya COVID-19.

"Bagi orang yang FOMO, dia akan cepat-cepat nak tahu ini wabak apa,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam program temu bual 'Ini Kopi Kita: Sembang Anak Malaysia' yang disiarkan secara langsung di Universiti Putra Malaysia, Serdang hari ini.

Selebriti dan usahawan terkenal Fazura turut menjadi tetamu dalam episod pertama program sembang santai yang berlangsung kira-kira 30 minit itu.

Tambah Fahmi, sikap FOMO turut mampu mendedahkan pengguna kepada risiko jenayah atas talian akibat perkongsian maklumat dan data peribadi yang keterlaluan.

FOMO adalah perasaan yang banyak dialami orang ramai terutama generasi muda yang digambarkan sebagai perasaan tidak ingin tertinggal atau takut tertinggal trend terbaharu, dan antara pencetusnya adalah hantaran serta kemas kini oleh orang lain di media sosial.

Istilah FOMO pertama kali diperkenalkan oleh Patrick J. McGinnis, seorang penulis dari Amerika Syarikat pada 2004 dan sering digunakan sejak 2010.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE