KUALA LUMPUR, 19 Februari - Buat julung kali, Kementerian Sumber Manusia melalui kerjasama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menganjurkan Program Latihan Pertolongan Cemas Kesihatan Mental Pekerjaan (OCFA).
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, sebanyak RM12 juta diperuntukkan bagi melatih 10,000 peserta secara percuma pada tahun ini.
Jelas Steven, ia merupakan usaha kerajaan bagi menangani masalah kesihatan mental di tempat kerja sekali gus meningkatkan tahap produktiviti pekerja.
"Kita faham mungkin dalam masyarakat kita pendedahan dan penerimaan masih lagi berada dalam tahap yang agak rendah justeru melalui program-program latihan ini kita nak mendidik bukan sahaja para pekerja tetapi juga para majikan dan masyarakat setempat bahawa adalah sesuatu yang normal bagi meminta bantuan dari segi kesihatan mental."
"Kita harap penyertaan bukan sahaja di peringkat sektor swasta tetapi juga di peringkat sektor awam."
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-24 (COSH 2024) serta Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kali keenam (SCICOSH 2024) di Pusat Konvensyen, disini.
Program selama dua hari anjuran NIOSH yang melibatkan lebih 1,300 peserta dan 60 pempamer itu dijangka menarik lebih 3,000 pelawat daripada pelbagai sektor.