fb fb fb fb fb

Agong berkenan rasmi Persidangan OB-PS Malaysia 2023

(Foto BERNAMA)

GENTING HIGHLANDS, 13 Oktober- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat mencemar duli ke Persidangan Tahunan Olave-Baden Powell Society (OB-PS) Malaysia 2023.

Ketibaan Seri Paduka Baginda dan Permaisuri turut diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota  Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara beserta Puteri Baginda Tuanku berdua.

Dalam Majlis itu, Seri Paduka Baginda berkenan merasmikan Upacara Perasmian persidangan OB-PS  yang diadakan di Malaysia buat pertama kali itu.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merupakan Penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia (GGAM) juga Dermawan Diraja merangkap Pengerusi Pengelola Persidangan badan amal global itu.

Dalam titahnya, Baginda menyifatkan penyertaan dalam OB-PS merupakan satu pelaburan dalam pendidikan khasnya golongan belia wanita yang bakal mewarisi kepimpinan akan datang.


(Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah/
BERNAMA)

"Apa sahaja yang disumbangkan kepada kami (OB-PS) dikembalikan kepada dunia untuk melatih wanita dan gadis supaya dapat bersuara, berdiri sendiri dan menjadi pemimpin akan datang kepada generasi masa depan", titah Baginda.

"Saya berharap persidangan ini menggalakkan pelaburan, pendidikan dan sumber untuk membantu gadis menyumbang kepada masa depan yang lebih cerah dan saksama buat semua," titah baginda pada majlis perasmian Persidangan OB-PS di Genting Highlands di sini yang turut dihadiri Penaung OB-PS, Puteri Benedikte dari Denmark, Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Antarangsa OB-PS Datuk Seri Anne Eu.

Baginda Raja Permaisuri turut berkenan untuk merekrut lebih ramai ahli dalam kalangan belia wanita tempatan untuk menyertai OB-PS sebagai pewaris kepimpinan akan datang.

Lebih 360 peserta dari 17 negara di seluruh dunia menghadiri Persidangan Tahunan Olave Baden-Powell Society (OB-PS) di Malaysia bagi meraikan Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (ACGGS).


Media Baharu