PUTRAJAYA, 31 Julai – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan 2025 yang berlangsung penuh istiadat di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1, Putrajaya pagi tadi.
Keberangkatan tiba Baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada pukul 8.33 pagi disambut dengan kawalan kehormat melibatkan pelbagai agensi keselamatan negara, antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Penjara dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Baginda turut berkenan memeriksa perbarisan dan menyaksikan beberapa acara simbolik termasuk tiupan 'Paluan Akhir', bacaan sajak bertajuk 'Darah Yang Terpercik Di Baju', mengisahkan sejarah perjuangan pejuang-pejuang negara serta tiupan 'Paluan Fajar'.
Istiadat diteruskan dengan satu minit bertafakur sebagai penghormatan kepada para pahlawan yang gugur dalam mempertahankan tanah air.
Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Hadir sama, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sambutan Hari Pahlawan yang diraikan setiap 31 Julai merupakan penghargaan tertinggi negara terhadap pengorbanan anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan Malaysia.