fb fb fb fb fb

Agihan kerusi PRN dimuktamadkan dalam tempoh singkat

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 20 Mac- Agihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan parti dalam Kerajaan Perpaduan akan dimuktamadkan dalam tempoh singkat

Keputusan itu bagi memastikan rundingan secara terperinci dibuat oleh jawatankuasa yang dibentuk melibatkan semua parti dalam kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kredibiliti barisan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang baharu dapat mengukuhkan lagi kesepakatan dan kekuatan kerajaan perpaduan untuk menghadapi PRN di enam buah negeri.

"Kemajuan yang baik, tapi kita bincang secara terperinci kerana jawatankuasa mewakili parti-parti yang terlibat akan terus berbincang.

"Kita juga mengambil maklum tentang perkembangan terkini dan mengucapkan setinggi tahniah kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid dan seluruh barisan pimpinan yang menunjukkan satu kemenangan dan pasukan yang meyakinkan.

"Saya percaya dengan ini akan dapat memperkukuh hubungan dan kekuatan kerajaan," kata Anwar dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali kedua di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution memaklumkan agenda utama Mesyuarat Sekretariat akan membincangkan strategi dan persiapan untuk menghadapi PRN.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan pula menjelaskan agenda utama mesyuarat akan tertumpu kepada komunikasi strategik dan pelaksanaan manifesto kepada rakyat.

(Datuk Seri Anwar mempengerusikan mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan/BERNAMA)

Media Baharu