(Foto hiasan)
KUALA LUMPUR, 27 Mei- Agihan kerusi melibatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya di enam negeri akan ditentukan akhir Mei ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perbincangan berkaitan agihan kerusi antara kedua-duanya masih belum dimuktamadkan.
Beliau berkata, mesyuarat malam tadi memfokuskan perancangan kepimpinan utama selepas memenangi kerusi pemilihan UMNO pada Mac lalu.

(Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin/BERNAMA)
"Sudah tentu kita mahu mendengar daripada pemegang-pemegang jawatan tentang perancangan masa depan untuk memperkasakan parti. Itu saja dan juga penjanaan untuk berdepan dengan pilihan raya Negeri (PRN) akan datang ini.
"Ianya (agihan kerusi) belum muktamad. setakat ini, di peringkat negeri diminta berbincang dan belum diputuskan. Ia akan dibuat pada hujung bulan ini", katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan senarai pendek calon yang bakal bertanding pada PRN.
Ahmad Zahid berkata, senarai itu hasil perbincangan yang dilakukan dengan pengerusi-pengerusi perhubungan negeri.