fb fb fb fb fb

Agensi penguatkuasaan dipantau rapi, elak kecurangan

Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 2 April- Agensi-agensi penguatkuasaan negara dipantau dengan rapi bagi mengelakkan daripada terpalit dengan isu kecurangan, dalam usaha membanteras gejala rasuah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berharap menerusi pemantauan itu ia dapat mengelakkan laporan berhubung aktiviti kecurangan seperti rasuah dalam kalangan penjawat awam yang menjalankan amanah menjaga keselamatan negara.

"Ini peringatan kepada semua agensi penguatkuasaan kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia), LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan Imigresen (Jabatan Imigresen). Kita sedang pantau dengan dekat.

"Saya harap sangat kita dapat mengelakkan laporan kecurangan kerana majoriti penjawat awam menginginkan kebaikan," katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan warga Kementerian Kewangan di sini.

Sementara itu Ketua Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki sebelum dilaporkan berkata 34 anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup membabitkan ketirisan hasil cukai RM2 bilion ditahan menerusi Ops Samba 2.0.

Operasi khas yang bermula 11 hingga 25 Mac lepas itu diketuai Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama pihak LHDN dan Bank Negara Malaysia (BNM), dengan bantuan SPRM Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI