IPOH, 1 Julai- Sinergi erat pelbagai agensi bawah portfolio Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak terus diperkukuh.
Ia menerusi penganjuran program ibadah korban, bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang diadakan secara gotong-royong, pagi tadi.
Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi berkata antara jabatan dan agensi terlibat adalah RTM, Jabatan Penerangan, Bernama dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Perak.
"Dalam situasi keadaan sekarang saya nampak kerjasama erat antara semua agensi yang berada bawah portfolio saya, ataupun rakan strategik portfolio saya sangat baik.
"Dan ini memudahkan kita di peringkat kerajaan negeri untuk melaksanakan program ataupun usaha mendekati dan menyelesaikan isu rakyat, ini yang paling penting.
"Hasil kerjasama, keakraban ini kita terjemahkan dalam gerak kerja di lapangan untuk menyelesaikan masalah rakyat. Ini yang kita nak intipati kepada program program yang kita laksanakan," katanya.
(Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi)
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini hari ini.
Sebanyak tiga ekor lembu dikorbankan pada program tersebut dengan daging disumbangkan kepada asnaf dan golongan memerlukan sekitar Ipoh.
Tambahnya lagi, penganjuran pelbagai aktiviti seumpamanya akan terus dirancang dalam usaha merapatkan ukhwah sesama agensi.