fb fb fb fb fb

AFTA pemangkin usahawan PKS lebih inovatif, berdaya saing

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Chong Siew Huay

KUALA LUMPUR, 2 November- Pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dilihat mampu menjadi pemangkin utama untuk mendorong syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia, lebih inovatif dan berdaya saing di peringkat serantau.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Chong Siew Huay berkata AFTA berupaya mengubah pemikiran PKS tempatan untuk lebih terbuka terhadap persaingan.

"Sebelum wujudnya AFTA (atau sebelum adanya perdagangan antarabangsa), kebanyakan peniaga hanya fokus kepada pasaran tempatan. Pengeluaran mereka selalunya hanya mencukupi untuk memenuhi permintaan di sesetengah negeri atau di Malaysia sahaja.

Namun, dengan adanya AFTA, mereka kini terpaksa berfikir lebih jauh kerana pasaran yang lebih luas telah terbuka," katanya ketika menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.

Selain itu, beliau turut berpandangan, masih ramai pengusaha PKS tempatan hanya menumpukan perhatian kepada pasaran domestik menyebabkan mereka kurang bersedia untuk bersaing di peringkat global.

Jelas beliau, kurangnya pendedahan kepada piawaian antarabangsa menjadi antara kekangan kumpulan itu untuk menembusi pasaran luar negara.

Justeru, usaha berterusan daripada agensi kerajaan dan pihak berkaitan untuk memberi bimbingan, latihan serta sokongan teknikal penting dalam membantu PKS meningkatkan daya saing mereka.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM