KUCHING, 2 November – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Malam Perasmian Festival Gendang Sarawak 2025 di Tebingan Kuching, malam tadi.
Mengiringi keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyaksikan pertandingan bermukun serta pelbagai persembahan kebudayaan yang menampilkan keunikan seni tradisi masyarakat Sarawak dan Pahang.
Sementara itu, Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, berkata keberangkatan Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang menyempurnakan festival berkenaan amat besar maknanya kepada seluruh rakyat Sarawak.
"Sarawak sememangnya kaya dengan kepelbagaian etnik serta adat dan budaya yang diwarisi sejak turun-temurun, termasuk seni persembahan Gendang Melayu Sarawak yang menjadi antara warisan seni unik negeri ini, katanya.
"Penganjuran Festival Gendang Sarawak merupakan platform untuk menyemarakkan semangat cintakan warisan dan budaya, selain memupuk jati diri anak Sarawak agar menghargai seni tradisional sebagai identiti negeri," tambah beliau.
Program tersebut diadakan sempena Sarawak Regatta dan Kuching Waterfront Festival 2025.
Menurut Datuk Dr. Abdul Rahman, penganjuran program ini bukan sahaja mengangkat martabat seni budaya negeri, malah memberi impak ekonomi positif kepada peniaga kecil, industri pelancongan dan sektor perhotelan.
Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan Gendang Melayu Sarawak 2025.
Usai majlis, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyaksikan persembahan cahaya laser, air pancut dan pertunjukan bunga api di Tebingan Sungai Kuching.