fb fb fb fb fb

Aeon sasar tanam 10,000 pokok di Taman Alam Kinta

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) pada Program Penanaman Semula Pokok AEON Credit Biodiversity Afforestation di Taman Alam Kinta di Batu Gajah/ Foto RTM

KAMPAR, 11 Mei -Kira-kira 2,000 anak pokok dari spesis Senarai Merah dan buah-buahan ditanam di Taman Alam Kinta dekat Batu Gajah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, usaha itu sebagai langkah penting dalam pemuliharaan biodiversiti di negeri itu.

Menurutnya, sinergi dilaksanakan bersama badan korporat AEON Credit itu dalam menjayakan Pelan Hala Tuju Kelestarian, wajar dipuji kerana ianya penting dalam menangani isu perubahan iklim dan pengurangan kehilangan hutan.

"Program yang dilaksanakan AEON Credit ini menyasarkan penanaman semula 10,000 pokok hutan spesis tempatan, spesis dari Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi pemuliharaan alam semulajadi (IUCN) dan spesis pokok buah-buahan di kawasan taman seluas 20 hektar menjelang September tahun ini", kata Saarani demikian kepada media selepas menyempurnakan Program Penanaman Semula Pokok AEON Credit Biodiversity Afforestation di Taman Alam Kinta di sini.

Sementara itu, Pengarah Urusan AEON Credit, Daisuke Maeda berkata, pemilihan Taman Alam Kinta sebagai lokasi penanaman pokok dilihat bersesuaian berikutan taman itu merupakan Taman Negeri ketiga terbesar di Perak.

Dalam pada itu, Saarani turut memaklumkan tahap penguatkuasaan di Hutan Simpan Banding, Gerik akan dpertingkatkan susulan kes pencerobohan sekumpulan individu awal Mac lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri akan menambah bilangan penguat kuasa di kawasan itu bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.

"Kita akan menambah bilangan penguat kuasa sebab kawasan itu tidak berpagar ada orang masuk dan ada menyalahgunakan hubungan baik dengan orang asli. Jadi dia masuk. Ini semua tidak akan terjadi sekiranya kita ada penguat kuasa yang mencukupi untuk memantau", ujar Saarani.

Sebelum ini, lapan individu didakwa atas kesalahan memasuki memasuki Hutan Simpan Banding, Gerik tanpa permit sah telah dikenakan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada 8 Mac lalu .

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD