fb fb fb fb fb

Ada peniaga jual daging kerbau import melebihi harga maksimum

JOHOR BAHRU, 21 April - Ada segelintir peniaga di Pasar Awam Larkin Sentral, di sini, didapati menjual daging kerbau import lebih mahal berbanding skim harga maksimum yang ditetapkan kerajaan untuk barangan keperluan asas.

Perkara itu didedahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang membuat pemeriksaan mengejut di pasar berkenaan.

Salahuddin berkata harga daging kerbau import yang dijual sebanyak RM24 berbanding harga siling maksimum yang ditetapkan RM20 adalah membebankan rakyat.

"Sepatutnya kalau warga asing datang, mereka datang ramai, juallah pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan, jadi mereka masih boleh untung apabila ramai yang datang berkunjung di sini, dengan tidak mereka mengambil kesempatan, saya akan fikirkan dan ambil tindakan tegas terhadap perkara ini dan pastikan harga kawalan dijual dengan harga yang telah ditetapkan," kata Salahuddin.

Selain itu, Salahuddin berkata ada juga segelintir peniaga yang masih gagal meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual, yang juga merupakan satu kesalahan.

(Salahuddin bercakap kepada pemberita ketika membuat
tinjauan harga barangan keperluan asas di Pasar Awam Larkin Sentral)

"Jadi ini sangat saya kesalkan dan saya harap pegawai akan dapat bertindak cepat pada hari ini, supaya rakyat dapat berbelanja dengan harga yang telah kita tetapkan," kata Salahuddin.

Ahli Parlimen Pulai itu juga telah mengarahkan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya bertindak cepat bagi memastikan peniaga terbabit tidak mengulangi kesalahan.

"Jadi kalau (peniaga mengulangi kesalahan yang sama) secara berulang-ulang, pegawai KPDN tidak akan berkompromi dan akan ambil tindakan tegas ke atas peniaga sebab kita (kerajaan) telah ingatkan banyak kali.

"Memang Pasar Awam Larkin Sentral ini KPDN akan ambil perhatian serius kerana ia kawasan tumpuan warga asing yang berbelanja di sini dan ini akan menjadi satu masalah kepada penduduk tempatan yang juga berbelanja di sini. Jadi saya rasa kita harus tegas," katanya.

Media Baharu