fb fb fb fb fb

Abai tahap kebersihan, kilang pau dan dim sum diarah tutup

BUTTERWORTH, 30 Mac- Sebuah kilang membuat kuih pau dan dim sum di Butterworth, Pulau Pinang diarah tutup susulan ia terlalu kotor dan jijik.

Arahan penutupan itu dikeluarkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan negeri Pulau Pinang dalam serbuan Op Tegar pagi tadi.

Pegawai Kesihatan Persekitaran BKKM negeri, Mohd Wazir Khalid berkata bukan saja kotor dan berlalat malah tiga ekor anjing peliharaan, tikus serta lipas turut berkeliaran dalam kawasan memproses makanan.

Tidak cukup dengan itu, najis-najis haiwan berkenaan juga didapati berada berhampiran tempat pemprosesaan makanan.

Peralatan mengukus kuih pau turut dipenuhi kulat.

"Kilang ini mengabaikan dari segi tahap kebersihan walaupun diberi bimbingan ataupun diberi pensijilan tetapi konsep yang kita lihat sekarang ini mereka masih lagi mengabaikan tahap kebersihan dimana saya anggarkan secara 100% tidak layak diusahakan untuk menjalankan pengilang makanan. Susulan itu notis penutupan selama 14 hari dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983," kata Mohd Wazir kepada media yang hadir bersama dalam operasi tersebut.


(Proses operasi kilang makanan tersebut nyata cukup menjijikkan semasa lawatan pihak berkuasa)

Susulan itu notis penutupan selama 14 hari dan kompaun terhadap pemilik premis dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Sebuah kilang memproses bebola ikan di kawasan tersebut turut diarah tutup dan dikompaun menerusi Op Tegar yang bermula pukul 9.30 pagi tadi kerana gagal mematuhi aspek kebersihan.

Media Baharu