(Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM
Datuk Ahmad Izram Osman)
KUALA NERUS, 26 September- Seramai 97 pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikenakan hukuman buang kerja kerana terbabit dalam pelbagai masalah tatatertib di seluruh negara.
Jumlah itu direkodkan sejak tahun 2017 hingga Jun 2023.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba Dan Penyelamat, JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata antara kesalahan yang dilakukan termasuk ketidakhadiran tugas, hubungan sulit, jenayah seksual, dadah, memalsukan tandatangan, rasuah dan salah guna kuasa.
(Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Datuk Ahmad Izram Osman)
"Kalau dihitung dan analisa pecahan 32 hukuman, kerana ia banyak kategori hukuman, paling banyak buang kerja 11 kes, amaran 6 kes, tangguh pergerakan gaji 6 kes, lucut hak 5 kes, turun gaji 2 kes, denda, dibebaskan 1 kes. Jadi, jumlahnya 32 kes, itu dari segi jumlah hukuman tatatertib", katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Forum Bicara Governans, Integriti dan anti rasuah (BiGiar) Zon Timur 2023 di Kuala Nerus.
Seramai 500 peserta menyertainya melibatkan anggota JBPM dan pihak agensi Kerajaan Dan swasta.
JBPM juga mewujudkan sistem e-aduan bagi memudahkan aduan berkaitan integriti dilaporkan terus kepada Unit Integriti.
Menerusi inisiatif tersebut, ia telah merekodkan sebanyak 84 aduan bagi tahun 2021, 87 aduan bagi tahun 2022 dan sehingga Ogos ini sebanyak 50 aduan diterima.