SEREMBAN, 26 September- Seramai 34 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan telah mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan ke-15 hari ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap ADUN Sikamat Datuk Seri Aminuddin Harun mendahului majlis angkat sumpah itu diikuti 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan 23 ADUN di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu dilantik, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.
Bagaimanapun dua lagi ADUN tidak hadir atas sebab urusan rasmi, iaitu ADUN Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan dan ADUN Chennah Anthony Loke dijadualkan akan mengangkat sumpah pada tarikh yang ditentukan kemudian.
Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN ke-15) pada 12 Ogos lalu, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan apabila menang dengan majoriti 24 daripada 36 kerusi.
PH menang dengan 17 kerusi manakala BN menang dengan 14 kerusi.
(Datuk Seri Aminuddin Harun)