SHAH ALAM, 23 November- Sebanyak 97 peratus lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mendapat pekerjaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata majoriti pelajar mendapat pekerjaan daripada lulusan TVET dan memperoleh gaji sekitar RM2,000.
"Ini tidak cukup, saya tidak setuju. Bagaimana untuk kita tingkatkan menjadi RM3,000 atau lebih dengan memberi latihan dan kemahiran tambahan yang akan membolehkan mereka (pelajar) mendapat pendapatan yang lebih tinggi.
"Pihak pengurusan pengarah di TVET dan institut latihan harus menerima kenyataan ini bahawa mereka berjaya setakat ini, disiplinnya, teknologinya tetapi masih ada penambahan yang diperlukan," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.
Anwar akan berbincang dengan Pengerusi Majlis TVET, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memperkasa lulusan TVET supaya ia memenuhi pasaran semasa.
"Kita memerlukan kerjasama semua pihak untuk perkara ini," kata Anwar.
Dalam pada itu Anwar berkata Malaysia tidak boleh dikenali sebagai negara yang mudah toleransi dengan rasuah dan penyelewengan.
Menurut Anwar, setiap dana yang diterima dan diperuntukkan harus digunakan dengan baik.
"Dan saya tahu perubahan itu tidak mudah. Sebab itu saya kata kita mula dengan kerajaan ini walaupun tidak disenangi oleh banyak pihak. Daripada perdana menteri, supaya jangan menjadi perdana menteri untuk memperkayakan anak menantu. Jadi menteri bukan untuk habuan, bukan untuk meningkatkan hasil kekayaan dan ini harus sampai ke kementerian, sampai ke pengarah, sampai ke tenaga pengajar. Ini landasan kita kerana perubahan tidak akan berlaku kalau tiada nilai yang positif dalam kalangan kita," kata Anwar.
Tambah Anwar, kestabilan politik kini juga akan menyukarkan hasrat segelintir pihak yang ingin mengambil alih kerajaan buat masa sekarang.