fb fb fb fb fb

937 calon SPM Ipoh raih gred cemerlang

Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Safuan Raba’ai ditemui media sempena pengumuman keputusan SPM hari ini

IPOH, 24 APRIL – Seramai 937 calon daripada 27,459 pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Perak berjaya memperoleh keputusan gred cemerlang (A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Safuan Raba’ai, berkata daripada jumlah itu, sembilan calon mencatat keputusan semua A+.

Tambah beliau seramai 16,483 calon atau 60.03 peratus lulus dalam semua mata pelajaran, menunjukkan peningkatan berbanding 15,900 calon pada tahun 2023.

Selain itu, 25,774 calon layak menerima sijil SPM, berbanding 25,227 calon pada tahun sebelumnya.

“Pencapaian peperiksaan SPM 2024 menunjukkan peningkatan berbanding 2023, apabila Gred Purata Negeri (GPN) berjaya dikecilkan kepada 4.63 mata berbanding 4.75 mata pada tahun lalu, peningkatan sebanyak 0.12 mata,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, trend GPN di Perak mencatat peningkatan selama tiga tahun berturut-turut sejak 2022.

Dalam kategori Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), tiga daripada 103 calon berjaya meraih 10 A dalam semua mata pelajaran, masing-masing mewakili kategori Kurang Upaya Pelbagai, Penglihatan, dan Pendengaran.

Sementara itu, 560 calon Orang Asli turut menduduki peperiksaan di Perak, dengan SMK Bawong di Sungai Siput mencatatkan kelulusan 100 peratus.

GRACE AISYAH KEDAYAN