KUALA LUMPUR, 24 April- Tiada layanan dua darjat melibatkan kesilapan paparan Jalur Gemilang yang menjadi simbol kedaulatan dan maruah Malaysia, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Siasatan akan dijalankan tanpa mengira pihak terlibat, sama ada media tempatan, syarikat antarabangsa, mahupun agensi kerajaan sendiri.
"Beberapa insiden melibatkan kesilapan dalam paparan Jalur Gemilang bendera rasmi negara yang menjadi lambang kedaulatan dan maruah kita semua.
"Kekhilafan ini dipercayai berpunca daripada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan imej tersebut sama ada sengaja atau tidak hakikatnya ia tetap menyentuh sensitiviti nasional yang tidak boleh dipandang ringan," katanya.
Perkara itu disampaikan, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim.
Prinsip keadilan dan penghormatan kepada simbol negara mesti ditegakkan oleh semua, tanpa pengecualian.