BESERI, 24 April - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memainkan peranan proaktif dalam membantu usahawan tempatan mempelbagaikan produk keluaran negeri itu.
Ia selari dengan usaha menyemarakkan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024–2025 demi memperkenalkan keunikan serta kekayaan hasil tempatan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
Sehubungan itu FAMA Perlis terus komited membantu usahawan tempatan termasuk jenama popular MOKTI’s Malaysia dalam mempelbagaikan keluaran produk mereka. Sokongan itu diterjemahkan melalui penyediaan premis dan peralatan lengkap di Pusat Memproses Makanan FAMA (PMMF) Beseri.
Pengarah FAMA Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan berkata, PMMF Beseri yang mendapat pengiktirafan GMP (Good Manufacturing Practices) dan Pensijilan Halal merupakan pusat pemprosesan bagi buah-buahan Durian, Mangga dan Cempedak sejak 2006 hingga 2024.
"Berikutan tiada lambakan komoditi berkenaan yang berlaku sekarang, FAMA mengambil langkah proaktif dengan menawarkan penggunaan premis berkenaan kepada usahawan-usahawan di negeri Perlis secara sewaan bermula awal 2025," kata Anzara.
Beliau memaklumkannya ketika lawatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagi meninjau pengoperasian kilang MOKTI’s Malaysia sempena Majlis Raikan Syawal yang dianjurkan dengan kerjasama FAMA Negeri Perlis di PMMF Beseri.
Sejak beroperasi di pusat berkenaan, MOKTI’s berjaya mengeluarkan lapan jenis (SKU) produk IMAT dengan penggunaan ‘Teknologi Retort’ seperti Daging Dendeng Belado, Bílis Belado, Bilis Petai Belado, Paru Belado dan beberapa lain lagi.