fb fb fb fb fb

600 unit kamera badan disediakan, tingkat integriti pegawai

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 24 April- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyediakan sebanyak 600 unit kamera badan kepada pegawai imigresen bagi mempertingkat integriti agensi berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perolehan kelengkapan itu akan diterima pada 28 April ini.

"Isu integriti antara perkara yang sangat dititikberatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar yang mengambil inisiatif menghubungi Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban yang meminta diikhtiarkan pemakaian kamera badan.

"Bermula Jun ini, sistem pagar automatik akan menggantikan sebahagian besar kaunter manual di lapangan terbang antarabangsa," katanya.

Beliau memaklumkan perkara itu dalam ucapannya pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks Setia Perkasa, di sini.

Ia sesuai dengan kehendak Perdana Menteri bagi mempercepat proses keluar masuk pelancong.

Majlis berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI