914 kes kemalangan di plaza tol pada 2025, majoriti berpunca akibat kecuaian

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini

KUALA LUMPUR, 3 MAC – Sebanyak 914 kes kemalangan direkodkan di plaza tol seluruh negara sepanjang tahun lalu, meningkat berbanding 541 kes pada 2022.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kecuaian manusia penyumbang utama dengan 78.56% daripada jumlah kemalangan pada 2025.
  • Kemalangan berkaitan kenderaan menurun pada 2025, melibatkan muatan berlebihan, brek gagal dan masalah mekanikal.
  • Kementerian dan Lembaga Lebuhraya laksanakan inisiatif teknologi dan keselamatan di 205 plaza tol.
  • Langkah termasuk jalur getaran, paparan VMS dan pemantauan CCTV untuk kesan pemandu tukar lorong akhir.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan analisis ‘Malaysian Highway Road Accident Analysis and Database System’ (MHROADS), peningkatan tertinggi dikesan pada tahun 2023 dan 2024 apabila jumlah kes melonjak 32 peratus daripada 651 kepada 861 kes.

“Daripada 914 kes direkodkan pada 2025, faktor kecuaian manusia adalah punca paling kritikal dengan 718 kes atau 78.56%, manakala faktor kenderaan mencatatkan kes tertinggi pada 2024 dengan 188 kes. Namun turun kepada 136 kes pada 2025, melibatkan masalah seperti lebih muatan (40 kes), kegagalan sistem brek (14 kes) serta masalah mekanikal dan tayar,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Tuan Azahar Hassan yang ingin tahu mengenai data terkini jumlah kemalangan di plaza tol seluruh negara serta punca utama kemalangan tersebut.

Menjawab soalan tambahan mengenai langkah pencegahan, Datuk Seri Ahmad berkata kementerian melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia melaksanakan pelbagai inisiatif teknologi dan keselamatan di 205 plaza tol beroperasi.

Ini termasuk pemasangan jalur getaran, penggunaan paparan Sistem Mesej Pelbagai Maklumat (VMS) serta pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan pemandu yang menukar lorong pada saat akhir.