fb fb fb fb fb

9 September tarikh mengundi PRK Pulai, Dewan Negeri Simpang Jeram - SPR

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 3 Ogos - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikn mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Negeri Simpang Jeram, Johor ialah pada Sabtu, 9 September 2023.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 26 Ogos manakala tarikh undi awal ialah pada 5 September 2023.

(Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh / FOTO FAIL)

"Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 26 Ogos 2023 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 8 September 2023 (Jumaat).

"Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK Parlimen P.161 Pulai dan PRK Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram, Johor akan dibuka bermula dari 3 Ogos 2023 (Khamis)," katanya dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat khas, di sini.

Abdul Ghani berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK Parlimen Pulai dan Dewan Negeri Simpang Jeram adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2023 yang dikemaskini sehingga 23 Julai 2023.

Beliau berkata, DPPR bagi PRK Parlimen Pulai mengandungi seramai 166,653 orang pemilih yang terdiri daripada 165,700 orang pengundi biasa, 927 orang polis dan 26 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Manakala DPPR bagi PRK Dewan Negeri Simpang Jeram mengandungi seramai 40,379 orang pemilih yang terdiri daripada 40,373 orang pengundi biasa dan 6 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

"DPPR bagi kedua-dua PRK ini akan mula dijual pada 21 Ogos 2023 (Isnin)," katanya.

Pengundi bagi kedua-dua PRK ini boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau menghubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124.

Media Baharu