fb fb fb fb fb

9,800 anggota bomba Selangor siap siaga hadapi banjir Monsun Timur Laut

Anggota bomba siap siaga dengan aset marin untuk operasi menyelamat penduduk terjejas banjir/Foto BBP Sekinchan

SABAK BERNAM, 19 Oktober – Seramai lebih 9,800 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor termasuk Bomba Sukarela dan Bomba Komuniti kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, sebanyak 85 aset marin turut berada dalam keadaan bersedia untuk digerakkan bagi operasi menyelamat dan pemindahan penduduk terjejas banjir sekiranya berlaku bencana.

Menurutnya, aset berkenaan tidak termasuk aset tambahan yang dimiliki Bomba Komuniti dan Bomba Sukarela di seluruh negeri.

“Persediaan sudah dilakukan jauh lebih awal, mengambil kira pengalaman mendepani insiden banjir besar yang melanda Taman Sri Muda, Shah Alam dan Hulu Langat pada tahun 2021,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan amaran cuaca serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Kita sentiasa bersedia berdepan cuaca tidak menentu, namun masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan mematuhi garis panduan ditetapkan bagi mencegah sebarang kejadian yang boleh mendatangkan mudarat,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN