fb fb fb fb fb

NGO santuni 30 buah keluarga sempena Deepavali di Perlis

Foto RTM

KANGAR, 19 Oktober - Menjelang Deepavali atau Pesta Cahaya, sebanyak 30 buah keluarga berbangsa India sekitar Taman Perumahan Behor Lateh dan Kampung Tok Kandang menerima sumbangan barangan keperluan harian untuk persiapan Deepavali.

Usaha ini digerakkan Persatuan Amal Bakti Negeri Perlis, Badan Amal Kebajikan Taman Dato Jaafar (BAKAD), Majlis Belia Negeri Perlis, Majlis Mahasiswa Anak Perlis serta Kawasan Rukun Tetangga Taman Perumahan Behor Lateh dan Kampung Tok Kandang.

Menurut Pengerusi Persatuan Amal Bakti Negeri Perlis, Areff Affandy Ariffin, inisiatif melaksanakan Program Ziarah Kasih Deepavali ini bagi memperkukuh ukhuwah dan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan pelbagai kaum yang menyambut perayaan ini.

"Selain itu, usaha murni ini bagi berkongsi rezeki hasil sumbangan pelbagai pihak bersama mereka yang memerlukan khususnya dalam sambutan perayaan yang diraikan pelbagai kaum dalam suasana penuh harmoni.

"Inisiatif ini juga bagi membolehkan setiap pertubuhan bukan kerajaan sama-sama bergabung tenaga menyantuni mereka yang memerlukan", katanya. 

Beliau ditemui semasa mengetuai Program Ziarah Kasih Deepavali yang berjaya memberi impak positif dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga masyarakat India dan kepimpinan pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti setempat.

Trainee