KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Kementerian Kesihatan mengesahkan 83 peratus daripada kluster influenza di negara ini melibatkan sekolah dan tadika.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 41/2025, sebanyak 448 premis sekolah dan tadika di seluruh negara terjejas susulan penularan wabak itu.
"Apa yang mustahak untuk saya sebutkan juga adalah wabak ini berlaku 83 peratus di sekolah. Sekolah adalah 65.8 peratus, manakala tadika 17 peratus. Kedua-duanya membentuk 83 peratus wabak.
"Penularan di tempat lain juga berlaku, seperti di institusi, kolej, tempat kerja dan sebagainya.
"Bagi mengekang penularan penyakit influenza ini, langkah yang kita cadangkan adalah ibu bapa perlu memastikan anak tidak mempunyai gejala influenza sebelum menghantar mereka ke sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly, penutupan sekolah tidak boleh dilakukan secara automatik, sebaliknya perlu melalui penilaian risiko kesihatan awam yang terperinci oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Ini termasuk meneliti kadar jangkitan dalam kalangan murid dan guru, serta keupayaan sekolah untuk melaksanakan langkah kawalan.