KUCHING, 16 Oktober - Sebanyak 10 resolusi dicapai dalam Mesyuarat Tahunan ke-14 Forum Zakat dan Wakaf Sedunia serta Persidangan Antarabangsa di sini, semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar berkata, antara resolusi penting yang dicapai ialah berkenaan bantuan kepada rakyat Palestin terutama di Gaza.
"Antara resolusi penting dalam forum ini berkaitan dengan peranan zakat dan juga waqaf untuk membantu khususnya golongan yang tertindas di Palestin terutama di Gaza," katanya ketika ditemui pemberita di Kuching.
Selain itu, kerajaan akan menyokong dan mendokong semua usaha yang dilakukan bagi membangunkan ekonomi islam.
"Tindakan seterusnya memastikan 10 resolusi yang dicapai itu tidak hanya tinggal di atas kertas namun dapat direalisasikan dalam bentuk tindakan." ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas kesediaan menjadi tuan rumah penganjuran edisi kali ini yang disifatkan sebagai platform penting memperkukuh kerjasama antara institusi zakat dan wakaf di peringkat antarabangsa.
Forum seterusnya akan diadakan di Afrika Selatan tahun hadapan.