fb fb fb fb fb

KPM akan laksana reformasi segera sektor pendidikan - Fadhlina

Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan reformasi segera melibatkan sistem dan mekanisme sektor pendidikan bagi menangani isu keselamatan, kesejahteraan murid serta mewujudkan persekitaran sekolah selamat dan kondusif.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata reformasi itu berteraskan lima fokus utama iaitu kesihatan mental, pencegahan bahan terlarang, suara murid serta pengukuhan ekosistem sekolah selamat dan kolaborasi rentas agensi.

Beliau menegaskan kesihatan mental guru dan murid menjadi keutamaan dengan pelaksanaan intervensi bersama Kementerian Kesihatan (KKM) serta rakan strategik dalam bidang tersebut.

"Kita melakukan reformasi segera ke atas sistem dan mekanisme sedia ada. Pemerkasaan sekolah selamat dan program pendidikan dilaksanakan dengan kerjasama rentas kementerian termasuk KKM, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

"(Selain itu) pendekatan masyarakat seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menghadapi cabaran," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata usaha itu dilaksanakan secara intensif dan berterusan melibatkan semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di 10,243 sekolah di seluruh negara.

"Pelaksanaan akan dibuat secara praktikal dan efisien serta-merta, dan KPM akan menilai keberkesanan usaha ini secara intensif serta berterusan. Pemantauan semua inisiatif pihak sekolah juga akan dinilai semula setiap 15 hari," ujarnya.

Fadhlina menekankan reformasi itu memerlukan pendekatan holistik menerusi penglibatan ibu bapa, agensi kerajaan dan komuniti setempat bagi mewujudkan persekitaran pendidikan yang selamat, inklusif dan sejahtera.

Beliau menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (Temerloh) berhubung tindakan segera dan menyeluruh KPM bagi memastikan insiden tragis seperti kes pelajar dirogol dalam kelas di Melaka baru-baru ini tidak berulang termasuk berkaitan keselamatan fizikal di sekolah, pengawasan guru serta mekanisme aduan yang berkesan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA