fb fb fb fb fb

82 peti rokok seludup dirampas JKDM Kelantan

KOTA BHARU, 17 Julai - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 82 peti yang mengandungi 671,000 batang rokok seludup pelbagai jenama dengan nilai cukai berjumlah RM452,725.

Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Mohd Nasir Deraman berkata hasil maklumat dan risikan, pihaknya melakukan serbuan pada 12.45 tengah hari Rabu lalu ke atas van di tepi lorong kampung di Kota Bharu.

Katanya, penyeludup menjadikan kenderaan sebagai tempat simpanan rokok seludup bagi memudahkan pergerakan selain mengelak daripada dikesan pihak berkuasa sebelum diedarkan kepada pelanggan tempatan.

(Mohd Nasir (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rampasan rokok seludup dalam
sidang media di Pejabat Kastam Padang Bongor, Kota Bharu)

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama," katanya dalam sidang media di Pejabat Kastam Padang Bongor, di sini.

Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Tambah Nasir, dalam tempoh enam bulan pertama pada tahun ini, JKDM Kelantan menerima sebanyak 183 kes penyeludupan rokok membabitkan 22 tangkapan.

"Dalam tempoh itu, lebih 11 juta batang rokok seludup yang dirampas bernilai RM1.5 juta membabitkan cukai berjumlah RM7.4 juta," katanya.

Media Baharu