fb fb fb fb fb

81 penerima di Kampung Ulu Ladang terima geran hak milik muktamad

Datuk Seri Aminuddin Harun

GEMAS, 20 September - Seramai 81 penerima di Kampung Ulu Ladang, Gemas menerima geran hak milik muktamad bagi tanah berkeluasan 22 hektar.

Ia sekali gus membolehkan setiap penerima memiliki lot kediaman seluas antara 5,000 hingga 6,000 kaki persegi.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia adalah bukti komitmen kerajaan negeri dalam membantu rakyat Negeri Sembilan untuk memiliki aset kediaman sendiri.

"Walaupun proses pengukuran mengambil masa, kerja pembersihan telah pun dilaksanakan. Perkara ini penting kerana sudah ada penduduk yang mula mendirikan rumah. Insya-Allah, tahun hadapan kerajaan negeri akan mempercepatkan projek ini dengan menyediakan peruntukan khas agar mereka dapat membina rumah masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Hak Milik Muktamad Kampung Ulu Ladang Mukim Gemas, Daerah Tampin di Kompleks Inap Desa Gemas.

Menurut Datuk Seri Aminuddin 46 lot kediaman masih tersedia di kawasan itu dan permohonan baharu akan dibuka dalam masa terdekat. 

Sementara itu, Mohd Yusri Mohd Som meluahkan rasa syukur kerana peluang memiliki tanah dianggap sebagai jaminan masa depan keluarganya.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana tidak semua berpeluang mendapat kelebihan seperti ini. Saya bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih khususnya kepada Menteri Besar yang telah merealisasikan impian saya untuk memiliki tanah bagi membina rumah," katanya.

Seorang lagi penerima, Rozita Alias menyifatkan tanah itu sebagai rezeki besar buat anak-anaknya dan mahu membina rumah impian di kawasan berkenaan.

"Saya rasa sangat teruja kerana selama ini saya tidak pernah memiliki tanah. Peluang ini saya anggap sebagai rezeki besar untuk anak-anak pada masa depan.

"Tanah ini saya akan duduki sendiri, bukan untuk dijual, sebaliknya saya akan bina rumah impian bersama keluarga. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sembilan atas peluang ini," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI