fb fb fb fb fb

RTM perkukuh peranan radio melalui kolaborasi silang budaya

Saifuzzaman Yusop dalam program Siaran Rancangan Antara Stesen Radio di Konti Sarawakfm

KUCHING, 20 September - Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus mengorak langkah memperkasakan peranan radio melalui pendekatan kolaborasi antara stesen radio RTM di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Saifuzzaman Yusop berkata, kerjasama tersebut berkonsepkan silang budaya dan silang program memberi peluang kepada stesen radio negeri berkongsi topik menarik berkaitan produk tempatan dari setiap wilayah.

"Kolaborasi ini bukan sahaja mengetengahkan kepelbagaian budaya dan potensi produk tempatan, malah menjadi strategi RTM untuk memastikan platform radio terus dekat di hati rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Siaran Rancangan Antara Stesen Radio di Konti Sarawakfm, di sini hari ini.

Siaran khas hampir sejam itu menampilkan perkongsian mengenai aktiviti serta produk tempatan dari pelbagai bahagian di Sarawak, membabitkan stesen radio seperti SibuFm, MiriFM, Sri AmanFm dan LimbangFm.

Usaha itu dijangka dapat memperkukuh kedudukan RTM sebagai wadah penyampaian maklumat sahih, selain mempromosikan keunikan tempatan kepada pendengar di seluruh negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI