fb fb fb fb fb

MIHAS 2025 catat nilai jualan RM4.97 bilion

Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 September - Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 mencatatkan nilai jualan mencecah RM4.97 bilion dalam tempoh tiga hari penganjurannya.

Menurut Pengerusi Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, nilai tersebut dicapai menerusi pelbagai acara utama termasuk Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) yang melibatkan libat urus hampir 1,000 pembeli dan penjual tempatan serta antarabangsa, dengan lebih 4,000 sesi padanan perniagaan.

Pencapaian itu juga didorong oleh kepercayaan pengunjung terhadap Malaysia sebagai peneraju industri halal, selaras dengan tema tahun ini, ‘Pinnacle of Halal Excellence’ (Mercu Keunggulan Halal), yang menekankan inovasi, kelestarian, prestasi eksport dan digitalisasi dalam ekosistem halal.

Kemuncak penganjuran kali ini adalah pelancaran Sidang Kemuncak Halal Global (GHAS) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan komitmen Malaysia untuk terus menerajui industri halal di peringkat antarabangsa.

Setakat semalam, MIHAS 2025 menerima kehadiran lebih 40,000 pelawat perdagangan dari 100 negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal global.

ROSLINA BINTI DIN