fb fb fb fb fb

800 peserta sertai Program Dirgahayu Run & Ride sempena keputeraan Raja Perlis

(FOTO RTM)

KANGAR, 17 Mei-Lebih 800 peserta menyertai Program Dirgahayu Run dan Ride sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-80 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini.

Program yang dianjurkan Majlis Sukan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis turut mendapat sokongan agensi kerajaan antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia.

Program yang bermula jam 7.30 pagi itu menyaksikan para peserta berpakaian sukan bertemakan warna bendera Perlis serta meraikan ulang tahun Keputeraan Tuanku Syed Sirajuddin.

Acara larian secara santai melibatkan jarak sejauh 2.3 kilometer di dalam kawasan Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra,manakala acara berbasikal sejauh 8 kilometer di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri Bintong. 

Pelepasan peserta bagi kedua-dua acara disempurnakan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Aktiviti lain yang turut diadakan adalah pameran daripada Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, aktiviti senamrobik dan pelbagai hadiah cabutan bertuah.


(Pelepasan peserta disempurnakan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli
/FOTO RTM)

Media Baharu