MARANG, 17 Mei-Projek Pengeluaran Silika Ultra Tulen dan Kristobalit yang dibangunkan syarikat Terengganu Silika (Marang) Sendirian Berhad (TSM) di Mercang, Marang, Julai ini bakal membuka 250 peluang pekerjaan untuk anak tempatan.
Projek industri mengeluarkan bahan utama bagi penghasilan kaca berteknologi tinggi dan maju bernilai RM500 juta itu akan dijalankan di kawasan seluas 1,000 hektar.
Pengerusi Kumpulan Terengganu Silica Consortium Sendirian Berhad, Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud berkata projek tersebut adalah yang pertama di Asia, dan membabitkan tempoh pelaburan selama lima tahun.
"Projek Kristo Balite ini dan hyper Silika menjamin masa depan kerana kita mempunyai pasir Silika bermutu tinggi.
"Perkara ini akan menjamin masa depan rakyat", katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek itu di Kampung Jambu Bongkok, di sini semalam.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli berangkat dan merasmikan majlis berkenaan.
Hadir sama, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd, N Surendran.
Tengku Baharuddin berkata, TSM juga bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi mempromosi dan menggalakkan lebih banyak pelaburan asing dalam sektor hiliran, khususnya di Terengganu.
Tambah Baharuddin, selain bekerjasama dengan MITI, TSM turut bekerjasama dengan beberapa negara termasuk Jerman, Belgium dan Jepun bagi mendapatkan kepakaran berkaitan serta dalam aplikasi kecerdasan buatan (AI).
(FOTO BERNAMA)