MEKAH, 17 Mei- Persediaan 21 petugas teknologi maklumat Tabung Haji menjelang ketibaan jemaah bakal haji 1444H semakin siap sepenuhnya.
Pasukan itu terdiri daripada unit aplikasi, perkakasan komputer dan rangkaian serta dibantu empat petugas Theta Edge.
Pengarah Operasi Teknologi Maklumat Operasi Haji, Shahidan Ishak berkata, cabaran utama pasukan itu ketika ini adalah memastikan kestabilan talian semasa di Mekah, Madinah, Jeddah dan juga operasi Masyair di Arafah, Mudzalifah serta Mina.
Semakan keutuhan sistem talian pula akan dibuat selewat-lewatnya sehari sebelum kemasukan rombongan jemaah pertama nanti.
Beliau menyarankan bakal jemaah haji supaya mempraktikkan penggunaan aplikasi seperti Haj Mobility dan E-Bimbingan sebelum berangkat ke Tanah Suci.
"Petugas-petugas haji dah dilengkapi dengan informasi supaya kalau ada apa-apa masalah untuk jemaah bertanya cara menggunakan dan sebagainya, boleh rujuk.
(Pengarah Operasi Teknologi Maklumat Operasi Haji, Shahidan Ishak)
"Setiap bangunan haji kita sediakan pejabat-pejabat maktab dan khidmat pelanggan yang digunakan sebagai rujukan aduan dan apa-apa pertanyaan. Untuk aplikasi juga boleh rujuk mana-mana petugas haji," katanya.
Seramai 176 petugas Tabung Haji telah tiba awal pada 12 dan 14 Mei lalu termasuk pengamal media terdiri daripada media penyiaran dan cetak termasuk krew RTM.