KOTA BHARU, 9 Februari- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menjangkakan 80 peratus murid sekolah rendah dan prasekolah di negeri itu akan mengambil suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) bermula Ahad depan.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ia bersamaan 91,748 daripada keseluruhan 114,685 murid yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Katanya, PICKids untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun akan dilaksana di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekolah-sekolah setelah mendapat kebenaran daripada ibu bapa.
Setakat ini, pihaknya dalam proses mengumpul data melalui borang yang telah diedar kepada murid.
"Bagi memudahkan urusan suntikan ini, kita buka semua klinik-klinik kesihatan yang ada di negeri Kelantan.
Bagi mereka yang berisiko, kita akan laksanakan penilaian kanak-kanak ini di hospital dan kita akan memberi suntikan itu di hospital di bawah pengawasan pakar di semua hospital yang ada di Kelantan termasuk Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)," katanya di sini.
Tambah beliau, murid yang tercicir daripada persekolahan juga boleh mendapatkan suntikan di PPV klinik kesihatan memandangkan JKNK menerima 132,000 dos secara keseluruhan.
Ibu bapa dibenarkan hadir menemani anak masing-masing semasa menerima suntikan.
"Pihak JKNK berharap ibu bapa dapat membuat keputusan yang bijak dalam isu pengambilan suntikan demi mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak," katanya lagi.
Terdahulu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk golongan berusia 12 hingga 17 tahun di Kelantan mencapai tahap yang tinggi iaitu 82.7 peratus bersamaan 174,211 penerima dua dos lengkap vaksin Pfizer.
Setakat ini, 34 kluster pendidikan dikesan di negeri itu sejak sesi persekolahan bermula Januari lalu.