PUTRAJAYA, 17 Oktober- Seramai 8.8 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bakal menerima bayaran Fasa 4 STR 2025 bermula 18 Oktober ini, lebih awal daripada jadual asal pada pertengahan November.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bayaran tersebut diawalkan sempena perayaan Deepavali yang disambut pada 20 Oktober, Isnin ini.
Bagi fasa ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion dengan kadar bayaran sehingga RM700 ditetapkan mengikut kategori. Jumlah itu turut melibatkan 200,000 pemohon baharu yang diluluskan bagi bayaran Fasa 4 dengan penyaluran mulai 13 November 2025.
Menurut MOF, berbanding Fasa 1 pada Januari lalu, jumlah penerima Fasa 4 meningkat sebanyak 500,000 individu dan isi rumah daripada 8.3 juta susulan keputusan Kerajaan MADANI membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu memastikan golongan yang layak tidak tercicir daripada bantuan negara.
"Tekad Kerajaan MADANI adalah untuk memastikan bantuan ini dimanfaatkan segenap lapisan rakyat. Penyaluran STR Fasa 4 sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kewangan menjelang Deepavali," katanya.
Kerajaan turut mengekalkan pendaftaran terbuka untuk STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2026 sepanjang tahun bagi memperluas capaian bantuan.
Tambah kenyataan itu, semasa pembentangan Belanjawan MADANI Keempat pada 10 Oktober lalu, Anwar mengumumkan peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi 2026 mencecah RM15 bilion.
"Bagi penerima sedia ada, data mereka akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data Kerajaan bersama data daripada agensi-agensi berkaitan untuk semakan kelayakan STR dan SARA 2026 mengikut syarat yang ditetapkan. Pendekatan ini turut mengurangkan risiko keciciran dan memastikan bantuan terus sampai kepada golongan sasar.
"Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut. Semakan status pembayaran dan kelulusan STR boleh dibuat melalui pautan yang sama," menurut kenyataan MOF.
MOF turut mengingatkan penerima STR agar sentiasa berwaspada terhadap pautan tidak sahih dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR.
"Sebagai perlindungan daripada kes penipuan (scam), pihak MOF tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp," menurut MOF.

Kenyataan MOF
