fb fb fb fb fb

Gencatan senjata di Gaza: MyCARE komited teruskan usaha kemanusiaan

Penasihat Kehormat MyCARE, Dr. Hafidzi Mohd Noor

KUALA LUMPUR, 17 Oktober - Gencatan senjata di Gaza yang berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu diharap menjadi titik tolak ke arah penyelesaian konflik yang berkekalan, dan bukan sekadar penangguhan sementara.

Penasihat Kehormat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Dr. Hafidzi Mohd Noor, menyatakan harapan tinggi agar gencatan senjata ini, secara menyeluruh, membawa kepada pengakhiran genosid yang berterusan terhadap rakyat Palestin.

"Selama dua tahun, mereka menderita bukan sahaja dibom dan menjadi mangsa genosid, malah turut menghadapi kebuluran. Semua ini sengaja dilakukan oleh Israel sebagai satu bentuk senjata. Oleh itu, kegembiraan yang dizahirkan terutamanya oleh rakyat Palestin yang dibebaskan daripada penjara Israel dalam pertukaran tawanan amatlah besar. Kita dapat lihat bagaimana mereka menyambut pembebasan ini dengan penuh syukur.

"Kita boleh bayangkan kegembiraan itu. Namun, kita pasti kecewa sekiranya kegembiraan ini berakhir dengan tindakan Israel yang mengkhianati gencatan senjata sekali lagi. Dengan berlakunya gencatan senjata ini, kita dapat lihat sempadan Rafah mula dibuka dan bantuan kemanusiaan mula masuk. Tetapi semalam, kita dimaklumkan perkembangan terbaru Israel menggunakan pelbagai sekatan dan alasan untuk mengurangkan kemasukan barangan bantuan," katanya selepas Program Selamat Pagi Malaysia di sini, hari ini.

Tambahnya, MyCARE terus komited untuk meneruskan usaha kemanusiaan, termasuk menyediakan bantuan perubatan, makanan dan air bersih.

Beliau berkata, pihaknya juga terus memberi sokongan kepada Pejabat MyCARE di Gaza yang menyalurkan maklum balas serta input penting bagi menentukan bentuk bantuan yang diperlukan. 

AHMAD ASHRAF BIN AB RAHMAN