fb fb fb fb fb

Raikan perpaduan di Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2025

Tangkap layar program Selamat Pagi Malaysia (SPM)/ RTM

KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Orang ramai dijemput menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI Peringkat Kebangsaan 2025 yang akan berlangsung esok di KL Sentral dari pukul 10.30 pagi hingga 2.00 petang.

Setiausaha Politik kepada Menteri Digital, Gobind Singh Deo, Michelle Ng Mei Sze berkata, majlis bertemakan 'Cahaya MADANI, Sinar Perpaduan' itu dianjurkan oleh Kementerian Digital dengan kerjasama Kementerian Perpaduan bagi menyemarakkan semangat Malaysia MADANI melalui sambutan perayaan inklusif.

"Dalam era digital, teknologi memainkan peranan penting, tetapi manusia yang menggerakkan dunia tidak boleh dilupakan.

"Sambutan perayaan sebegini memberi peluang penting untuk membina keharmonian dan perpaduan rakyat," katanya selepas menghadiri Program Selamat Pagi Malaysia di sini hari ini.

Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2025 juga akan diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain menampilkan elemen budaya masyarakat India termasuk hidangan tradisional, persembahan seni dan tarian kebudayaan yang boleh dinikmati semua lapisan masyarakat.

SITI AISHAH BINTI MD ISA