fb fb fb fb fb

79,483 wanita terima manfaat WCaRe tahun lalu - KPWKM

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 25 Mac- Seramai 79,483 wanita di seluruh negara menerima manfaat menerusi Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) pada tahun lalu, dengan 21.2 peratus adalah penduduk luar bandar.

Jelas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, daripada jumlah itu seramai 8,789 wanita merupakan penduduk Sabah dengan 46.5 peratus daripadanya adalah wanita luar bandar.

"WCaRe memayungi program saringan kanser servik dan program subsidi ujian mamogram yang bertujuan meningkatkan kesedaran golongan wanita mengenai kepentingan saringan kanser servik dan kanser payudara sekali gus meningkatkan jumlah wanita yang tampil untuk menjalani saringan ini," kata Dr. Noraini di Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan yang diajukan oleh Senator Datuk Noraini Idris berhubung keberkesanan kempen WCaRe dalam menyedarkan golongan wanita untuk menjalani ujian awal penyakit berkenaan, khususnya wanita luar bandar di Sabah.

WCaRe dilaksana di 50 klinik Nur Sejahtera yang berdaftar dan 15 Pusat Keluarga Bergerak di seluruh negara, dengan 57,000 wanita seluruh negara disasar menerima manfaat menerusi kempen itu, tahun ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM