fb fb fb fb fb

Kos pembinaan ECRL Kota Bahru-Pelabuhan Klang kekal RM50.27 bilion

Kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)/Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Mac - Kos pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu hingga ke Pelabuhan Klang kekal pada RM50.27 bilion, kata Menteri Pengankutan Anthony Loke.

Anthony berkata, kos itu merangkumi laluan sepanjang 655 kilometer (km) dan 20 stesen di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor yang merupakan tanah-tanah yang terlibat dengan projek ECRL.

Tambah beliau, Malaysia Rail Link (MRL) selaku pemilik projek ECRL tertakluk kepada Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960.

"Berdasarkan kepada APT 1960, pihak berkuasa negeri boleh memperoleh mana-mana tanah yang diperlukan untuk tujuan pembangunan untuk orang ramai.

"Sekiranya baki tanah tersebut kurang daripada 0.25 hektar dari perwartaan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960, tanah tersebut akan diambil secara keseluruhan. Pembayaran pampasan yang dinamakan sebagai 'injurious affection and severance' juga akan diberikan kepada pemilik tanah bagi tanah-tanah yang tidak lagi memberi nilai keuntungan akibat pemisahan tanah atau keadaan saiz dan bentuk tanah yang tinggal selepas pengambilan dilakukan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Mutabil mengenai kos akhir pembiayaan ECRL dan tindakan yang diambil oleh kerajaan dalam menyelesaikan masalah sebahagian tanah pemilik yang terlibat dengan pengambilalihan tanah kesan daripada pembinaan ECRL.

GRACE AISYAH KEDAYAN