fb fb fb fb fb

71 peratus kertas siasatan rokok elektronik disahkan mengandungi dadah

Foto hiasan

KULAI, 12 Julai- Sebanyak 71 peratus daripada 32 kertas siasatan yang dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga Mac lalu, melibatkan penggunaan rokok elektronik mengandungi dadah.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) bersama PDRM terus menjalin libat urus lebih agresif bagi mengesan penggunaan bahan terlarang itu pada rokok elektronik atau vape.

"Dadah seperti butinaca, methamphetamine, terkandung dalam cecair vape tersebut. Sehingga kini ada lebih kurang 32 kes sehingga Mac, kertas dibuka oleh PDRM dan juga 71 peratus mengandungi dadah.

"Kita sedang menjalankan sesi libat urus, yang lebih agresif dengan pihak PDRM. Makmal-makmal kami juga membuat pemeriksaan, kami akan membuat penguatkuasaan ke atas sumber pembuatan untuk menyemak kandungan cecair vape tersebut", katanya pada Majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau dan Sambutan Hari Tuberkulosis Sedunia di Kulai, Johor.

KKM dan PDRM juga akan menjejaki pihak bertanggungjawab, meletakkan dadah di dalam katrij atau cecair rokok elektronik.

Pada tahun lalu, sebanyak 79.9 peratus daripada 64 kes dikesan, disahkan mengandungi dadah.

 

ROSLINA BINTI DIN