fb fb fb fb fb

7,252 penduduk terjejas banjir di Kedah berlindung di 35 PPS setakat 4 petang

Kesemua penduduk daripada 2,418 keluarga itu kini ditempatkan di 35 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah yang terjejas.

KUALA LUMPUR, 23 September- Jumlah penduduk terjejas banjir di Kedah menurun kepada 7,252 orang setakat 4 petang ini berbanding 7,958 orang pagi tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kesemua penduduk daripada 2,418 keluarga itu kini ditempatkan di 35 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah yang terjejas.

Kota Setar masih merekodkan jumlah tertinggi iaitu 4,984 orang, diikuti Pendang (1,604), Kubang Pasu (579) dan Pokok Sena sebanyak 85 orang.

Laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan hanya Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar masih berada pada paras bahaya.

Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah penduduk terjejas kekal 29 orang setakat 4 petang ini, dengan kesemua mereka masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di Kerian.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik di kesemua daerah di Perak pada malam ini. - BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI